ASSALAMUALAIKUM..
Mungkin
sebahagian anda tertanya-tanya..apa yang cuba saya sampaikan melalui tagline
“Too Good To Leave, Too Bad To Stay”. Perkara ini cukup memberi makna yang
mendalam kepada saya apabila mengendalikan kes-kes yang melibatkan pasangan
yang dalam proses penceraian dan telah pun bercerai. Akhirnya saya memahami
bahawa inilah jalan terakhir yang mereka ada walaupun berat untuk dilaksana.
Semua
pasangan mendambakan perkahwinan yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Ikatan perkawinan
adalah sesuatu yang suci murni anugerah Sang Pencipta kepada hambaNya. Adalah
menjadi fitrah manusia yang mahukan belaian, kasih sayang, rasa dihargai dan
dimanjakan. Pasangan kita adalah penyempurnaan hidup kita di syurga dunia yang
indah ini.
Di awal
penciptaan khalifah pertama, Nabi Adam a.s mengadu kepada Allah S.W.T lantaran
sunyi walaupun berada di syurga yang penuh keasyikan serta kenikamatan yang
tidak akan dapat digambarkan di dalam pemikiran kita. Lantas Allah S.W.T.
menganugerahkan Saidatina Hawa sebagai pelengkap kehidupan Baginda. Inilah yang
disebut fitrah.
Prasyarat
kepada kebahagian rumahtangga, perlu adanya mahabbah (kasih sayang) dan rahmah
(belas kasihan) di antara suami isteri. Inilah kunci kepada syurga rumantangga.
Asas ini disebut di dalam alquran dan Nabi S.A.W menyebut “Sebaik-baik kamu
adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik
dikalangan kamu terhadap keluargaku” .
Namun
adakalanya panas yang disangka sampai ke petang rupanya hujan di tengahari.
Mendung berarak membawa seribu duka di dalam rumahtangga. Tiada lagi ucapan
sayang yang selalu meniti dibibir, tiada lagi kucupan penuh mesra serta,
belaian manja Semuanya hilang entah dan hanyut ke mana. Yang menjadi perbualan
harian adalah “ini salah siapa”, “kenapa dulu lain sekarang lain”, kata nista
dan seumpamanya, Tangan yang dulunya membelai kini menjadi senjata untuk
menyakitkan pasangan. Rumah yang dulunya syurga bertukar menjadi neraka. Api
kemaharan meluap-luap bagaikan gunung berapi yang mahu memuntahkan lahar.
Nah
sekarang apa pilihan yang anda. Berjuang dan bersabar selagi ada kudrat. Mahu
terus berusaha pertahankan kerukunan rumahtangga. sampai bila? Bolehkah kita
melakukan perubahan ke arah kebaikan?. Jika mampu silakan. Inilah mujahadah yang
tinggi nilainya. Saya berdoa semoga Allah membuka pintu rahmat dan kasih
sayangNya kepada anda.
Sebaliknya bagi anda
segalanya sudah berakhir. Anda telah mencuba sedaya upaya memerah kudrat dan
pemikiran untuk menyelamatkan rumahtangga. Tiada lagi mahabbah dan rahmah di
dalam rumah tangga. Suami isteri hanyalah pada gelaran tetapi masing-masing
gagal menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Pertengkaran dan
pergaduhan menjadi makanan harian anda. Maka anda perlu menilai mungkin telah
tiba masanya bagi anda…“ Too good to leave, Too bad to stay”