Tuesday 4 December 2012

“ Too good to leave, Too bad to stay"


ASSALAMUALAIKUM..

Mungkin sebahagian anda tertanya-tanya..apa yang cuba saya sampaikan melalui tagline “Too Good To Leave, Too Bad To Stay”. Perkara ini cukup memberi makna yang mendalam kepada saya apabila mengendalikan kes-kes yang melibatkan pasangan yang dalam proses penceraian dan telah pun bercerai. Akhirnya saya memahami bahawa inilah jalan terakhir yang mereka ada walaupun berat untuk dilaksana.

Semua pasangan mendambakan perkahwinan yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Ikatan perkawinan adalah sesuatu yang suci murni anugerah Sang Pencipta kepada hambaNya. Adalah menjadi fitrah manusia yang mahukan belaian, kasih sayang, rasa dihargai dan dimanjakan. Pasangan kita adalah penyempurnaan hidup kita di syurga dunia yang indah ini.

Di awal penciptaan khalifah pertama, Nabi Adam a.s mengadu kepada Allah S.W.T lantaran sunyi walaupun berada di syurga yang penuh keasyikan serta kenikamatan yang tidak akan dapat digambarkan di dalam pemikiran kita. Lantas Allah S.W.T. menganugerahkan Saidatina Hawa sebagai pelengkap kehidupan Baginda. Inilah yang disebut fitrah.

Prasyarat kepada kebahagian rumahtangga, perlu adanya mahabbah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan) di antara suami isteri. Inilah kunci kepada syurga rumantangga. Asas ini disebut di dalam alquran dan Nabi S.A.W menyebut “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dikalangan kamu terhadap keluargaku” .

Namun adakalanya panas yang disangka sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Mendung berarak membawa seribu duka di dalam rumahtangga. Tiada lagi ucapan sayang yang selalu meniti dibibir, tiada lagi kucupan penuh mesra serta, belaian manja Semuanya hilang entah dan hanyut ke mana. Yang menjadi perbualan harian adalah “ini salah siapa”, “kenapa dulu lain sekarang lain”, kata nista dan seumpamanya, Tangan yang dulunya membelai kini menjadi senjata untuk menyakitkan pasangan. Rumah yang dulunya syurga bertukar menjadi neraka. Api kemaharan meluap-luap bagaikan gunung berapi yang mahu memuntahkan lahar.

Nah sekarang apa pilihan yang anda. Berjuang dan bersabar selagi ada kudrat. Mahu terus berusaha pertahankan kerukunan rumahtangga. sampai bila? Bolehkah kita melakukan perubahan ke arah kebaikan?. Jika mampu silakan. Inilah mujahadah yang tinggi nilainya. Saya berdoa semoga Allah membuka pintu rahmat dan kasih sayangNya kepada anda.
Sebaliknya bagi anda segalanya sudah berakhir. Anda telah mencuba sedaya upaya memerah kudrat dan pemikiran untuk menyelamatkan rumahtangga. Tiada lagi mahabbah dan rahmah di dalam rumah tangga. Suami isteri hanyalah pada gelaran tetapi masing-masing gagal menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Pertengkaran dan pergaduhan menjadi makanan harian anda. Maka anda perlu menilai mungkin telah tiba masanya bagi anda…“ Too good to leave, Too bad to stay”